Rumusan 1 SPM November 2005
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan
cara-cara memupuk
semangat kejiranan.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kemakmuran sesebuah negara amat
bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan
masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri
masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang
amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Jiran ialah orang yang tinggal
paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada
diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang
yang paling mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana.
Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan
pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau
sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama
dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita. Hal ini kerana
mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama.
Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan
setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan
budaya samseng.
Segala perkara yang mencemarkan
keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat
kerjasama dan keprihatinan sesame jiran. Gejala social seperti khalwat,
penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan
peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu
bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap
ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk. Bak
kata pepatah,’sediakan paying sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana
bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang
kebajikan kepada masyarakat setempat.
Rahsia kejayaan program ini terletak padapersepakatan dan persefahaman yang
mantap sesame jiran.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan
kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan
kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat dalam keadaan aman dan damai.
Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik
ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan
mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka
lambat laun akan tercetus bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada
perbalahan dan perpecahan.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita
betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan
kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja
yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa
akan dating.
(Dipetik dan
diubahsuaikan daripada Kejiranan,
Cara Kekalkan Hubungan Baik, oleh
Ahmad Tarmizi
Zakaria,
Utusan Malaysia,
Jun 2003)
Soalan
2
(a) : Petikan Umum
Berdasarkan
petikan soalan 1 di atas, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata menjamin
keselamatan setempat. [2
markah]
(ii)
Nyatakan kepentingan perpaduan dalam hidup
berjiran. [3 markah]
(iii)
“Semangat kejiranan semakin hari semakin
luput”.
Pada
pendapat anda, mengapakah keadaanini berlaku? [4 markah]
Rumusan 2 SPM November 2006
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan masyarakat berbudi
bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa
dalam masyarakat.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak
zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang menitikberatkan nilai-nilai budi dalam
setiap perbuatan dan perbualan. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai
pelengkap kehidupan berhemah. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata,
kelakuan dan sopan santun yang meliputi akhlak mulia. Untuk menyuburkan amalan
yang mulia ini, kerajaan melancarkan Kenpen Budi Bahasa dan Nilai Murni.
Justeru, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan oleh semua pihak
untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.
Sementara
itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula. Alangkah eloknya
tradisi masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja
pada setiap masa. Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan
tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Amalan ini akan menyemai perasaan
hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.
Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam
itu termasuklah budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.
Ibu
bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya
membesar dengan akhlak yang terpuji. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit
oleh tuntutan kerjaya masing-masing. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru
perlu mendidik murid mereka supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai
murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah. Satu langkah drastic yang
dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan
memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh sebab
itu, amalan berbudi bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah.
Malahan amalan ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat, dengan
perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam mengekalkan nilai budi
bahasa itu.
Jika
hal ini dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang
tahun 2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murine merupakan satu daripada
ukuran kemajuan bangsa dan negara. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat
bercambah tanpa usaha untuk memupuknya. Rakyat dan kerajaan mesti berusaha
bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa.
Untuk tujuan itu, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian
terhakis itu menjadi amalan pada setiap masa. Kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni merupakan kemuncak tindakan kerajaan untuk menerapkan amalan mulia ini
dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia dalam pelbagai
lapisan masyarakat. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan
mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat
antarabangsa.
(Dipetik
dan diubahsuaikan daripada
Fokus
Pengarang,”
Dewan
Siswa, April 2005)
Soalan
2
(a) : Petikan Umum
Berdasarkan
petikan soalan 1 di atas, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata ukuran
kemajuan. [2 markah]
(ii) Mengapakah kerajaan melancarkan Kempen
Budi Bahasa dan Nilai Murni?
[3markah]
(iii) Pada pendapat anda, jelaskan faktor-faktor
yang menentukan kejayaan kempen tersebut. [4 markah]
Rumusan 3 SPM November 2007
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid
di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Pada masa ini
Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan
di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah
negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang
berwibawa, berkaliber dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni
kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah
disiplin murid di sekolah-sekolah.
Untuk mengatasi
masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani
Gejala Displin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam
diterima di samping ratusan aduan dikategorikan dalam masalah salah laku murid.
Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran adalah dengan membuka talian penting dan
e-mel untuk mangsa buli dan keganasan di
sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat maklumat tentang masalah disiplin dengan
lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan tentang masalah disiplin murid. Selain itu,
maklumat boleh disalurkan menerusi system pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai
yang bertanggungjawab.
Bagi menangani masalah disiplin yang
berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis.
Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar
kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah
mengingatkan pihak sekolah bahawa mereka
boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang
berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran
menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah
yang berstatus elit, cuba menutup kes
disiplin di sekolah mereka.
Sebenarnya masalah disiplin yang
berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan
hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun, demikian,
sebelum hukuman dikenakan, setiap kes mestilah disiasat puncanya terlebih
dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid
tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana
ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa
masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan system
pendidikan. Kemantapan ini pula berganting pada kecemerlangan kakitangan
Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masng. Dengan itu, akan
tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni
selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
(Dipetik dan
iubahsuaikan daripada
“Realiti Semasa
Masalah Dispilin Pelajar,”
Oleh Noor
Khairiyati Mohd. Ali,
Dewan Masyarakat,
April 2005)
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Barikan maksud rangkai kata sekolah yang
berstatus elit? [2 markah]
(ii) Apakah peranan pendidikan di negara
ini? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah
pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah? [4 markah]
Rumusan 4 SPM November 2008
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara
menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angka lepas. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Pembabitan Malaysia dalam bidang
penerokaan angkasa lepas bermula pada
awal 1980-an sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh
sesetengah negara lain. Pada mulanya
rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa
lepas itu benar-benar berbaloi dengan
kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu terjawab apabila
Malaysia diakui sebagai antara negara
yang memiliki komunikasi yang terbaik di dunia.
Belakangan
ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila melaksanakan program penghantaran angkasawan
pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan beberapa buah negara lain. Pemilihan calon
angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai
peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri daripada pendidik, doktor, jurutera, saintis
dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada negara
untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini
juga, negara dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang
sudah maju dalam bidang tersebut. Secara tidak langsung, kerjasama dengan
negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara mereka
bekerja dalam bidang tersebut.
Masyarakat
yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan menfaat penerokaan angkasa lepas,
kini menerima hakikat bahawa sysatem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil
daripada penerokaan angkasa lepas. Kecanggihan system komunikasi ini, seperti
penggunaan internet telah menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin
meluas kita boleh mencontohi
negara-negara maju yang menggunakan Internet untuk tujuan penyelidikan dalam
pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan
dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan system
komunikasi ini.
Satu
lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas. Menerusi
pelancaran satelit ini, system komunikasi negara terus berkembang maju yang
akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat
dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan
sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi
turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti
pendidikan, penyelidikan dan perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini
mempunyai peluang yang cerah untuk berkembang pada masa hadapan. Oleh sebab
itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya pada suatu hari nanti
Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membeuktikan kehebatan negara
dalam bidang angkasa lepas.
(Dipetik
dan diubahsuaikan daripada
‘Meneroka
Angkasa Lepas’ oleh Haslin Ghafar,
Utusan
Malaysia, 26 Mei 2006
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata memberikan
impak. [2
markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang
menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.
Nyatakan
bukti-bukti tersebut.
[3 markah]
(iii) Sebagai murid yang berwawasan, jelaskan
persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan supaya terpilih sebagai calon angkasawan pada masa akan datang.
[4 markah]
Rumusan SPM 5 November 2009
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara
mengatasi masalah sukar tidur.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pernahkah
sekali-sekali anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah
anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan
tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran?
Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan
otak ini ada kaitannya dengan faktor tidur.
Setiap orang memerlukan masa tidur
yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya,
golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur
yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi
melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini,
badan seseorang mengeluarkan hormone pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki
sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk
belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu,
proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh
itu, mereka yang sering tidur lewat,
seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam,akan
menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga akan
mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan
terjejas. Menurut kajian, kebanyakan
kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan
tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.
Tidur memantapkan sistem ketahanan
dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang
daripada kadar biasa akan menglami tekanan dan melemahkan ketahanan badan
sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita
mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu
malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur
secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi
seseorang.
Selain tidur pada waktu malam,
amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan,
sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur
selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung.
Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit
dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada
waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu
yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik
(Dipetik dan
diubahsuaikan daripada
“Tidur dari segi
Saintifik,” oleh Danial Zainl Abidin,
Dewan Kosmik,
Februari 2007)
Soalan
2
(a) : Petikan Umum
Berdasarkan
petikan soalan 1 di atas, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangka kata keadaan yang
merimaskan. [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang
dialami jika seseorang tidak mendapat tidur yang secukupnya.
Nyatakan
tiga daripada kesan tersebut.
[3markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca
yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah sukar tidur?
Kemukakan empat
punca.
[4 markah]
Rumusan SPM 6 November 2010
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara
memajukan industri coklat.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak
turun-temurun, coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman yang digemari oleh
semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Pada
zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati coklat. Pada masa itu,
coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja, perwira dan pembesar
negara. Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah kokok itu dapat dinikmati
oleh semua orang. Hal ini menyebabkan industry berasaskan koko semakin berkembang dan menjadi sumber ekonomi epada
banyak negara.
Coklat mempunyai kandungan serat
yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B, C dan
D. mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegaan otot. Namun
demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkab
otot menjadi terlalu rehat sehingga asid
perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu bahagian saluran makanan yang
terletak di antara tekak dengan perut.
Keadaan ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada mnusia. Hasil
penyelidikan pula mendapat bahawa coklat dapat memberi perasaan gembira yang
amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira dapat dirasai ketika coklat
mencair di dalam mulut.
Hasil kajian mendapati bahawa ketika
makan coklat, aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Di samping itu, pengambilan
coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks kerana bahan kimia teobromina
yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah
diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun , bahan kimia yang memberikan kesan relaks kepada manusia itu boleh menjadi racun kepada banyak
haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi kerana
haiwan peliharaan tidak mempunyai system penghadaman yang dapat melakukan
proses penguraian terhadap bahan kimia tersebut.
Manfaat lainnya ialah coklat mampu
melanjutkan usia seseorang yang selalu memakannya. Kajian mendapati bahawa
sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat
hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat langsung.
Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya
yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam
jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan
saluran pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia dalam coklat yang
diambil juga sesuai untuk melegakan batuk, namun begitu , manusia perlu
berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan
obesiti.
(Dipetik dan
diubah suai daripada
“Sains di Sebalik
Coklat”
Oleh Saharil
Hasril Sanin,
Dewan Kosmik,
September 2007)
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata sumber ekonom [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa keburukan
pengambilan coklat.
Nyatakan
keburukan-keburukan tersebut.
[3 markah]
(iii) Masih terdapat sebilangan rakyat negara
kita yang gemar membeli coklat import walaupun harganya mahal.
Pada
pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku?
Berikan
tiga sebab.
[4 markah]
.
Rumusan SPM 7 November 2011
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan bahasa kebangsaan dan masalah-masalah
yang dihadapi untuk memperkasakan bahasa kebangsaan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Pada kelazimannya,
istilah Bahasa kebangsaan merujuk kepada satu Bahasa yang dikaitkan dengan
sesebuah negara. Bahasa yang dipilih untuk menjad Bahasa kebangsaan biasanya
ialah bahasa setempat atau Bahasa peribumi. Bahasa kebangsaan sering dijadikan
symbol jati diri nasional yang sama untuk seluruh rakyat sesebuah negara.
Dalam hal ini, seperti kebanyakan
negara, Malaysia memiliki hanya satu Bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.
Dengan menggunakan satu Bahasa kebangsaan sahaja, negara kita berjaya membentuk satu identity
nasional yang sama dalam kalangan rakyat. Bahasa Melayu telah dipilih sebagai
Bahasa Kebangsaan negara kita kerana Bahasa Melayu ialah Bahasa kumpulan etnik
yang paling besar dan atas kemampuannya sebagai lingua franca, iaitu Bahasa
perhubungan antara masyarakat selama beberapa abad di rantau ini. Di samping
itu, Bahasa Melayu menjadi Bahasa pentadbiran kerajaan Melayu sebelum negara
ini dijajah oleh kuasa Barat. Walau bagaimanapun, akibat penjajahan Barat
perpaduan rakyat di negara kita mulai tergugat. Tindakan onar penjajah itu
meninggalkan kesan yang mendalam sehingga menyulitkan kita untuk menyuburkan
jati diri serta citra bangsa yang utuh sifatnya.
Setelah mencapai kemerdekaan, para
pemimpin kita telah mengambil langkah segera untuk mengukuhkan perpaduan rakyat
yang menjadi teras pembangunan negara. Atas kesedaran itulah, Bahasa Melayu
dikembalikan peranannya sebagai alat perpaduan dan seterusnya membangkitkan
semangat kebangsaan rakyat negara ini. Di samping itu, Bahasa kebangsaan juga
dapat memupuk semangat kekitaan dalam jiwa rakyat Malaysia, yang bersifat padu
dan abadi. Hal tersebut hanya dapat dilakukan melalui perkongsian satu Bahasa
kebangsaan, yang antaranya digunakan sebagai Bahasa pengantar tunggal dalam
system pendidikan nasional. Melalui sistem pendidikan tersebut, bahasa
kebangsaan juga berperanan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat dalam
negara kita. Sehubungan dengan itu, banyak negara yang memanfaatkan fungsi
Bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat.
Melalui penggunaan satu Bahasa
kebangsaan sesama rakyat, komunikasi yang berkesan dapat dizahirkan. Hal ini
demikian kerana melalui pertuturan satu Bahasa yang sama sesungguhnya Bahasa
kebangsaan bukan sahaja merupakan jiwa rakyat,
tetapi sebenarnya ialah maruah negara dan maruah rakyat. Negara kita
dalam konteks imartabat dan nama baik bahasa Melayu perlu dijaga. Bahasa Melayu
wajar diletakkan pada kedudukan teratas,
yakni di atas mana-mana bahasa lain di negara kita selaras dengan cogan
kata bahasa jiwa bangsa.
(Dipetik dan
diubah suai daripada
“Kepentingan satu
bahasa kebangsaaan”
Oleh Teo Kok Seong
Pelita Bahasa,
Oktober 2009)
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata padu dan abadi. [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa faktor
pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nyatakan faktor-faktor
tersebut. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak
media dapat menggalakkan rakyat menggunakan bahasa kebangsaan.
Jelaskan
dua cara.
[4 markah]
Rumusan 8 SPM November 2012
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pemilihan Malaysia sebagaai
destinasi pelancongan kesihatan dan faedah-faedah industri pelancongan
kesihatan kepada negara kita.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Bersesuaian dengan
langkah transformasi ekonomi negara yang memerlukan pendekatan dan strategi menyeluruh, kerajaan melaksanakan
usaha sama dalam pelbagai bidang yang menjadi teras ekonomi negara. Kerjasama
yang terjalin antara sector kesihatan dengan sector pelancongan telah
merancakkan industry pelancongan kesihatan, iaitu lebih banyak pelancong dari
serata dunia berkinjung ke Malaysia bagi mencari penawar untuk pelbagai masalah
kesihatan selain memenuhi agenda pelancongan mereka. Hal ini dipengaruhi oleh
factor kebanyakan hospital di negara ini mendapat pengiktirafan do peringkat
antarabangsa.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai
tahap kualiti perunatan yang tinggi, Malaysia mempunyai potensi yang sangat
besar untuk menarik lebih banyak pelancong kesihatan. Hal ini demikian
kerana negara kita sememangnya mampu
menyediakan perkhidmatan pelancongan kesihatan yang terbaik dan seterusnya
menjadi peneraju industry ini di rantau Asia Tenggara. Kemajuan dalam perkhidmatan perubatan swasta
merupakan elemen bernilai tambah yang mempunyai potensi untuk menjadi sumber
penjanaan perkhidmatan tersebut. Selain itu, negara kita mempunyai pakar
perubatan antara yang terbaik di dunia.
Tambahan pula, caj rawatan di sini lebih murah berbanding dengan negara maju.
Keyakinan
pelancong kesihatan terhadap mutu rawatan di negara kita didorong oleh
pengiktirafan Kualiti Kesihatan Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH) serta
standard MS ISO9002. Pengiktirafan tersebut dimiliki oleh pengamal perubatan tempatan
yang memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehubungan dengan
itu, Malaysia amat sesuai sebagai destinasi pelancongan kesihatan kerana
terdapat banyak pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan
canggih dan doctor pakar yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi. Lebih
istimewa, pusat perubatan swasta di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan
penginapan kerana kos penginapan hospital bergantung pada pilihan pesakit sama
ada mahu memilih penginapan yang mewah atau penginapan yang selesa dengan
bayaran yang berpatutan. Para pelancong kesihatan turut mendapat layanan
bertaraf dunia daripada pusat perubatan
swasta tempatan.
Bagi memperkasakan industry ini agar lebih berdaya saing dan
menawarkan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan semasa, KKM telah
memperuntukkan undang-undang baharu untuk
mentadbir penjagaan kesihatan. Usaha penambahbaikan sector kesihatan
melibatkan pemberian kuasa tambahan kepada Majlis Kesihatan Malaysia sekali gus
akan mempertingkatan fungsinya. Bagi memastikan
jumlah pelancong kesihatan meningkat dalam kadar yang lebih tinggi
dari tahun ke tahun, kerajaan mengkaji
kemungkinan untuk meminda undang-undang agar dapat membantu pengamal perubatan
mempromosikan perkhidmatan mereka di luar negara.
(Dipetik dan
diubah suai dariapada
“Sinergi Sektor
Kesihatan dengan Pelancongan”
Oleh Hanafi Timan,
Dewan Ekonomi, Oktober 2010)
Soalan
2
(a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata strategi
menyeluruh? [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa usaha
kerajaan untuk memajukan sector pelancongan kesihatan. Nyatakan
usaha-usaha tersebut.
[3 markah]
(iii) Jelaskan pendapat anda tentang dua peranan pihak media untuk memajukan
industri pelancongan kesihatan di negara
ini. [4 markah]
Rumusan 9 SPM November 2013
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan hutan bandar dan
cara-cara
mengekalkan hutan bandar.
Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kawasan bandar
merupakan penyumbang utama pembebasan gas karbon dioksida yang menjadi punca
utama pencemaran udara. Oleh itu, kewujudan hutan bandar penting bagi
mengurangkan masalah ini. Hutan bandar merupakan tumbuh-tumbuhan yang sedia ada
dan juga pokok-pokok yang ditanam secara sitematik di persekitaran bandar.
Hutan bandar berperanan untuk menyediakan kawasan hijau yang berkualiti bagi
mengimbangi binaan batu dan struktur lain yang mendominasi landskap bandar.
Hutan bandar berfungsi untuk
mengurangkan kesan negatif akibat
kemerosotan kualiti alam sekitar di kawasan bandar. Ketika ini, hutan bandar
menjadi semakin relevan dan sangat berpotensi untuk mengurangkan masalah pencemaran
udara. Di samping itu, masalah pemanasan global juga dapat dikurangkan melalui
penghutanan bandar. Pokok pinggiran jalan yang ditanam pula dapat dijadikan
peneduh daripada panas matahari. Namun demikian, pemilihan pokok yang sesuai
perlu diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan. Umpamanya, penanaman pokok
palma, walaupun cantic, tidak membawa banyak faedah sebagai peneduh kerana siaz
kanopinya yang kecil berbanding dengan pokok-pokok besar yang lain. Begitu juga
pokok angsana, walaupun rendang tetapi dahannya mudah patah dan membahayakan
orang ramai.
Pada masa yang sama, pokok besar
yang ditanam di sekitar bandar seperti khaya senegalensis dan Samanea saman
berfungsi untuk menyerap gas karbon dioksida di atmosfera. Karbon dioksida yang
diserap berubah ke bentuk biojisim yang disimpan sebagai karbon sama ada di
bahagian akar atau di bahagian batang, daun dan dahan. Peranan utama pokok yang
menjadi penyumbang kepada perhutana
bandar adalah untuk mengurangkan masalah perubahan iklim. Hal ini demikian
kerana pokok yang ada di sesuatu kawasan bandar dipercayai dapat memberikan
sumbangan bukan sahaja di kawasan bandar tersebut bahkan di peringkat global.
Oleh itu, hutan bandar sememangnya penting dalam melengkapkan ekosistem bandar.
Berbeza dengan hutan hujan tropika
yang berfungsi untuk mengurangkan kerosakan tanah, menyediakan sumber makanan
dan perlindungan kepada pelbagai jenis haiwan, hutan bandar pula dapat
meminimumkan kerosakan akibat hakisan tanah. Hal ini disebabkan kewujudan hutan
bandar sedikit sebanyak telah dapat menangani masalah kejadian tanah runtuh di
kawasan bandar. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menjamin
pengekalan pokok besar yang sedia ada di kawasan bandar. Usaha ini penting demi
meningkatkan kualiti udara di bandar di samping manfaatnya terhadap alam
sekitar secara keseluruhan.
(Dipetik dan
diubah suai daripada,
“Hutan Bandar”,
oleh Ahmad Azaruddin Mohd Noor dan Adnan Mohammad,
Dewan Kosmik Jun
2011”
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud secara sistematik.
[2 markah]
(ii) Pengarang ada menyatakan beberapa fungsi
hutan hujan topika.
Nyatakan
fungsi tersebut.
[3 markah]
(iii) Usaha-usaha memupuk semangat cinta akan
hutan perlu bermula pada peringkat sekolah. Pada pendapat anda, apakah
usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
memupuk semangat tersebut? [4 markah]
Rumusan 10 SPM Ulangan 2014
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor obesiti dan kepentingan mengawal berat badan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Obesiti
atau kegemukan didefinisikan sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan
masalah kesihatan seperti darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Menurut
kajian, kira-kira 20 peratus rakyat negara kita menghadapi masalah obesiti.
Secara umum, obesiti berpunca daripada kandungan nutrisi yang tidak seimbang
dalam menu harian. Hal ini berlaku kerana tabiat pemakanan yang lebih
mengutamakan keenakan makanan berbanding dengan khasiatnya.
Amalan
pengambilan makanan segera seperti makanan berasaskan daging yang diproses
turut menjadi penyumbang kepada masalah obesiti. Kajian yang dijalankan pada
tahun 2005 hingga 2006 mendapati bahawa 74 sampel makanan segera seperti
kentang dan ayam goreng yang dijual di restoran makanan segera sangat tinggi
kandungan lemaknya. Selain itu, makanan berasaskan karbohidrat yang diambil
secara berlebihan seperti nasi lemak dan roti canai turut menjadi penyebab
obesiti. Masalah ini juga berlaku akibat makanan harian yang tinggi kandungan
kalorinya. Hal ini demikian kerana kalori yang berlebihan akan bertukar menjadi
lemak sekiranya tidak digunakan dalam masa yang lama. Untuk menangani masalah
ini, kita hendaklah membudayakan tabiat pengambilan
makanan yang sihat.
Masalah
obesiti juga disebabkan oleh amalan penggunaan ubat-ubatan tanpa pengawasan
doktor. Misalnya, steroid yang berlebihan dalam ubat-ubatan boleh menyebabkan
obesiti dan pelbagai penyakit lain. Walau bagaimanapun, pakar kesihatan juga
tidak menafikan bahawa kegemukan boleh berlaku kerana faktor genetik atau
keturunan. Hasil kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa anak-anak yang
dilahirkan daripada salah seorang daripada ibu bapanya obes mempunyai 40 hingga
50 peratus berkemungkinan menjadi gemuk. Sekiranya kedua-dua ibu bapanya obes,
kebarangkalian menjadi gemuk ialah 70 hingga 80 peratus.
Kadar
metabolisme yang rendah juga dikenal pasti sebagai penyebab obesiti. Hal ini
demikian kerana metabolisme rendah menyebabkan tahap pembakaran kalori menjadi
lebih perlahan. Keadaan ini semakin meruncing apabila individu tersebut tidak
melakukan senaman dan diet yang seimbang. Dalam hal ini, kita dinasihatkan
supaya melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Perlu
diingat bahawa pertambahan berat badan juga berlaku apabila seseorang itu tidak
mengamalkan gaya hidup sihat seperti banyak menghabiskan masa menonton
televisyen atau bermain permainan video terutamanya kanak-kanak dan remaja.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengurangkan
aktiviti menonton televisyen atau permainan video. Kita perlu sedar bahawa
obesiti akan menimbulkan pelbagai kemudaratan. Oleh itu, setiap individu perlu
bertindak untuk mengelakkan obesiti kerana mencegah lebih baik daripada
mengubati.
Dipetik dan diubah daripada
“Nasi Lemak, Oh
Nasi Lemak”
Oleh Marina Abdul
Manaf,
Dewan Kosmik,
September 2010
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2(a) –
Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i) Berikan maksud membudayakan tabiat. [2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa langkah
yang perlu diambil untuk mengurangkan masalah obesiti.
Nyatakan
langkah-langkah tersebut. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kesedaran masyarakat tentang bahaya obesiti
dapat ditingkatkan?
Jelaskan
dua cara. [4 markah]
Rumusan 11
SPMN 2014
[30
markah]
Baca petikan di
bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid
mendapat khidmat kaunselor. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Murid-murid pasti sudah biasa
mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan mereka tentang
fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor
dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya. Sebagai orang yang terlatih,
kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan
dan kaunseling yang mampu menangani
sebahagian masalah sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah
tekanan emosi. Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid
mengenal pasti punca tekanan emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan
tentang cara menangani masalah yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, kaunselor
bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti tanggapan sesetengah
pihak. Perkara ini perlu difahami oleh
setiap murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor.
Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima
keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan
mengurangkan perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak
seharusnya menganggap bahawa mereka yang
berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah semata-mata.
Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya, apabila bertemu dengan
kaunselor, murid akan dibantu untuk
menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti panduan
memilih jurusan atau kerjaya yang sesuai dan bukan memberi tumpuan terhadap
masalah tertentu sahaja.
Kaunselor juga dapat membantu murid
mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya. Hal ini penting supaya segala
tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang diingini
agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat
hidup. Pada masa yang sama, kaunselor bertanggungjawab untuk membimbing murid
memanfaatkan peluang bagi penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program
bimbingan dan kaunseling seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan
membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang hubungan mereka dengan
masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan
berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran. Selain itu,
kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri murid melalui sesi
kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai murni ini akan meningkatkan
mutu disiplin murid-murid di sekolah.
Sesungguhnya, usaha-usaha
penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar dilaksanakan agar khidmat yang
diberikan oleh kaunselor mendapat
kepercayaan murid. Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas
hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling di sekolah.
Dipetik dan diubah
suai daripada
‘Memanfaatkan
Khidmat Kaunselor’
Oleh Nadiah
Naufal,
Dewan Siswa, April
2012.
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan.
[2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan
yang salah tentang khidmat kaunselor di sekolah.
Nyatakan
tanggapan-tanggapan yang salah tersebut.
[3
markah]
(iii) Pada pendapat anda, selain mendapatkan
khidmat kaunselor, apakah tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid
untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka?
[4 markah]
Rumusan 12 SPMN 2015
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat
satu rumusan tentang punca-punca
berkurangnya bekalan air bersih dan
cara-cara menyedarkan masyarakat supaya
berhemat dalam penggunaan air. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.
Air
merupakan sumber yang penting untuk kelestarian dan kelangsungan kehudupan. Air
diperoleh secara semula jadi daripada pelbagai sumber dan sungai merupakan
sumber air yang utama di negara ini. Negara kita mempunyai lebih daripada 150
batang sungai yang menjadi sumber air mentah utama. Walau bagaimanapun,
Malaysia terdedah kepada risiko kekurangan bekalan air jika sumber air tersebut
tidak dijaga dan diurus dengan baik. Oleh itu, pemeliharaan dan pemuliharaan
sumber air sangat perlu diberikan perhatian bagi menjamin bekalan air yang
mencukupi.
Peningkatan permintaan air oleh
pengguna akibat pertambahan bilangan penduduk menyebabkan berlakunya penyusutan
bekalan air. Krisis air juga berlaku disebabkan oleh sikap pengguna yang sering
menggunakan air secara berlebihan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara
purata setiap rakyat Malaysia menggunakan 380 liter air sehari, iaitu melebihi
keperluan biasa yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB}
sebanyak 50 liter sehari. Keadaan ini
berlaku kerana sikap sebahagian rakyat Malaysia yang tidak menghargai air sehingga
melakukan pembaziran. Sumber bekalan air negara ini terjejas disebabkan
oleh pembangunan yang tidak terancang.
Hal ini demikian kerana aktiviti dan perancangan bandar tidak diurus dengan
baik. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif untuk menangani isu
pembalakan dan pembangunan yang tidak terancang ini.
Malaysia juga pernah dilanda
beberapa episod krisis air kesan daripada perubahan iklim, misalnya fenomena El
Nino yang telah menyebabkan berlakunya kemarau panjang. Pada masa itu, kerajaan
terpaksa mencatu bekalan air akibat sumber air yang semakin susut. Selain itu,
pelepasan sisa toksik daripada aktiviti industri ke sungai-sungai telah
menyebabkan air tercemar. Hal ini telah
menimbulkan kesulitan kepada penduduk di negara ini, terutamanya bagi penduduk yang menjadikan sungai sebagai
sumber air. Di samping itu, kewujudan tapak
pelupusan sampah berhampiran
sungai yang menghasilkan air licik telah mencemarkan air sehingga menyebabkan
berkurangnya bekalan air bersih. Keadaan yang berlaku ini menunjukkan kualiti air sungai semakin
merosot.
Selain faktor-faktor di atas,
masalah kecurian air juga menjadi salah satu sebab berlakunya krisis air.
Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan yang mendesak bagi mewujudkan satu
dasar yang menyeluruh untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan urus tadbir
sumber air yang baik dan bersepadu. Sesungguhnya, masa depan dan nasib sumber air negara terletak di tangan kerajaan dan
rakyat.
Dipetik dan diubah
suai daripada
“Air Semakin
Kurang
Oleh Haliza Abdul
Rahman,
Dewan Kosmik, Mei
2013
Soalan
2(a)-
Petikan Umum
Berdasarkan
petikan
Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata menimbulkan kesulitan. [2 markah]
(ii) Dalam petikan terdapat beberapa langkah
untuk mengatasi masalah kekurangan air bersih.
Apakah langkah-langkah tersebut? [3 markah]
(iii)
Negara kita telah beberapa kali menghadapi
krisis bekalan air.
Huraikan pendapat anda tentang cara yang
berkesan bagi menangani krisis tersebut
[4
markah]
Rumusan 13 SPM November 2016
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara memupuk semangat patriotisme
dalam kalangan remaja dan kepentingan memupuk semangat patriotisme.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Patriotisme pada
umumnya dikaitkan dengan semangat kecintaan dan pengorbanan yang kuat untuk negara. Semangat cinta akan
negara ini perlu disemau dan dipupuk dalam kalangan remaja kerana semangat ini
tidak hadir sendiri tanpa memahami sejarah negara secara jelas. Sejak
akhir-akhir ini semangat patriotisme dikatakan semakin menipis dalam diri
remaja kerana generasi pascamerdeka itu tidak pernah merasai jerih perih
seperti yang dialami pejuang kemerdekaan tanah air suatu ketika dahulu. Mereka
juga berasa selesa dengan kehidupan hari
ini. Sehubungan dengan itu, semangat patriotism mesti disemai, melalui system
pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah, bermula dari peringkat
sekolah rendah lagi. Pada masa yang sama, penerapan elemen sejarah melalui mata
pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Kajian Tempatan dan Kesusasteraan Melayu
turut dapat menyemai semangat tersebut.
Untuk membina semangat patriotism
dan rasa cinta remaja terhadap negara, pelbagai aktiviti menarik boleh
dilaksanakan melalui aktiviti kokurikulum di sekolah seperti Persatuan Sejarah,
Kelab Rukun Negara dan Kelab Setia. Di samping itu, kempen sayangi negara
hendaklah diadakan secara berterusan. Media
elektronik seperti televisyen dan radio perlu menyiarkan dokumentari
tentang pejuang kemerdekaan dan
menayangkan filem-filem yang berkaitan denan peristiwa bersejarah negara kita.
Penyebaran maklumat tentang peristiwa bersejarah melalui laman sosial perlu dilaksanakan dengan
harapan remaja dapat menggunakan
kreativiti mereka dengan memuat naik peristiwa-peristiwa sejarah secara
interaktif supaya semangat patriotism
dapat diterapkan. Selain itu, program sambutan bulan kemerdekaan perlu
dijalankan untuk menyemarakkan semangat patriotism dalam kalangan remaja.
Program-program seperti pertandingan nyanyian lagu patriotic, pementasan teater
dan drama yang bercorak kenegaraan boleh dianjurkan oleh badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan
agensi-agensi kerajaan supaya mesej semangat cinta akan negara sampai kepada golongan sasaran. Namun,
program tersebut kurang berjaya dalam mencapai matlamatnya kerana kurangnya penghayatan para remaja
dalam aktiviti bercorak kenegaraan tersebut.
Dalam memupuk semngat patriotism,
ibu bapa turut memainkan peranan penting dengan menunjukkan teladan kepada
anak-anak. Misalnya, ibu bapa bersama anak-anak mengibarkan Jalur Gemilang atau
melawat tempat-tempat bersejarah tanah air. Akan tetapi, terdapat segelintir
ibu bapa yang kurang berperanan dalam menerapkan semangat patriotism dalam jiwa
nak-anak mereka menyebabkan hasrat
memupuk semangat patriotism terjejas. Para remaja juga perlu dididik dan
diterapkan konsep berpegang pada prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang
terdapat dalam Rukun Negara. Penerapan
terhadap prinsip ini diharapkan dapat melahirkan remaja yang bersemangat
patriotisme dalam meniti arus globalisasi. Oleh itu, setiap rakyat negara ini
perlu mempunyai semangat patriotisme dalam
mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara tercinta.
Dipetik dan diubah
suai daripada
“Memupuk Semangat
Patriotisme melalui Sejarah”
Oleh Azam Rahman,
Dewan Siswa, Ogos
2014.
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan
2
(a) – Petikan Umum
Berdasarkan
petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut deng,an
menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata golongan sasaran. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa faktor yang menyebabkan semangat
patriotisme semakin menipis dalam kalangan remaja.
Apakah faktor-faktor
tersebut?
[3 markah]
(iii) Pejuang-pejuang kemerdekaan telah berjaya
menanamkan semangat patriotisme dalam jiwa rakyat Malaysia sehingga kini.
Pada
pendapat anda, apakah perkara-perkara yang dapat dilakukan agar jasa-jasa
mereka kekal subur dalam jiwa generasi akan datang? [4 markah]
Soalan 1 : Rumusan 14 SPM November 2017
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah pembelajaran Komponen Sastera
(KOMSAS) dan cara-cara pihak sekolah menarik minat murid mempelajari KOMSAS. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pembelajaran Komponen Sastera
(KOMSAS) dalam pendidikan Bahasa Melayu di semua sekolah menengah diperkenalkan
mulai tahun 2000. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memilih beberapa buah
karya sastera untuk dijadikan teks yang wajib dipelajari dan ditaksir dalam
peperiksaan awam. Pemilihan karya sastera tersebut merangkumi semua genre utama
yang mencakupi pelbagai tema. Langkah tersebut menjadikan pendidikan Bahasa
Melayu semakin luas. Hal ini telah menjadikan proses pendidikan Bahasa Melayu
tidak lagi hanya berfokus kepada penulisan karangan, tatabahasa dan pemahaman
semata-mata.
KOMSAS yang diajarkan juga dapat
meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid. Murid dapat menikmati
keseronokan dunia pembacaan apabila mereka dapat menghayati pelbagai
karya yang ditulis oleh pengarang-pengarang tanah air. Melalui pembelajaran
KOMSAS pelbagai istilah asas kesusasteraan seperti tema, persoalan, perwatakan,
gaya bahasa dan beberapa istilah lain dapat difahami dan seterusnya mampu
melahirkan murid yang menghargai karya-karya sastera. Berbanding dengan
penulisan yang berbentuk fakta dan ilmiah, penulisan karya sastera lebih
menarik kerana digarap melalui penggunaan gaya bahasa yang puitis dan kosa kata
yang pelbagai. Secara tidak langsung, murid-murid dapat memperluas
perbendaharaan kata yang boleh digunakan dalam penulisan dan pertuturan. Di
samping itu, pembelajaran KOMSAS dapat membantu murid untuk meningkatkan
kemahiran berbahasa seperti kemahiran bertutur, membaca dan menulis.
Karya yang dipilih sebagai teks
KOMSAS bukan sahaja mengambil kira aspek teknik penceritaan atau jalan cerita
tetapi juga berdasarkan gaya bahasa yang menarik. Selain itu, nilai-nilai murni
yang boleh dijadikan teladan turut diambil kira. Pertimbangan tersebut sangat
penting agar pembacaan dan perbincangan karya KOMSAS di dalam kelas dapat
memberikan banyak pengajaran kepada murid. Karya yang dipilih itu pula tidak
terhad kepada karya-karya moden seperti novel, cerpen dan sajak malah KOMSAS
turut mengetengahkan karya-karya lama yang berbentuk prosa seperti prosa
tradisional serta puisi seperti panting, gurindam dan syair. Dengan mendalami
dan mengapresiasi karya-katya sastera tradisional tersebut, murid menjadi lebih
peka untuk menghargai kesusasteraan warisan bangsa. Sebagai usaha positif untuk
menyemarakkan penghayatan KOMSAS, pihak KPM sentiasa menukar teks KOMSAS yang
digunakan dalam tempoh tertentu. Perubahan tersebut dilakukan untuk memberi
peluang kepadada lebih ramai penulis agar karya mereka diterbitkan dan
seterusnya dikaji oleh murid-murid.
Sesungguhnya pembelajaran KOMSAS
yang telah dilaksanakan lebih sepuluh tahun ini dapat mematangkan murid dalam
berfikir dan berkomunikasi. Namun begitu, pihak KPM perlu melaksanakan kajian
semula secara holistic supaya pembelajaran KOMSAS dapat memberikan impak yang
lebih menyeluruh. Kajian ini perlu dilakukan agar matlamat pembelajaran KOMSAS
dapat dicapai dengan baik.
Dipetik dan diubah
suai daripada
“Pembelajaran KOMSAS
dan Dunia Kesusasteraan Negara”
Oleh Salleh
Hashim,
Dewan Siswa, April
2016
Soalan
2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan
Soalan 1, jawab soalan-soalan yang
berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata menikmati keseronokan. [2 markah]
(ii) Dalam petikan, pengarang menjelaskan
bahawa pelbagai pertimbangan diambil kira semasa memilih karya sastera untuk
dijadikan teks KOMSAS.
Nyatakan
pertimbangan –pertimbangan tersebut. [3
markah]
(iii) Negara kita masih memerlukan ramai penulis
yang berminat untuk menghasilkan karya sastera.
Pada
pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai hasrat
tersebut ?
[4 markah]
Rumusan 16 SPM Ulangan 2018
[30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan penerapan unsur
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan usaha-usaha ibu bapa untuk menyokong pelaksanaan KBAT dalam pendidikan.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi
120 patah perkataan.
Pendidikan merupakan antara bidang
yang mengukuhkan pembangunan komuniti dan pembangunan ekonomi di sesebuah
negara. Seiring dengan perkembangan system pendidikan dunia, sistem pendidikan
di Malaysia turut mengalami transformasi agar setanding dengan pendidikan pada
peringkat global. Kini terdapat perubahan baharu dalam dunia pendidikan negara,
iaitu penerapan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Transformasi
pendidikan yang berkonsepkan KBAT ini berupaya untuk melahirkan murid-murid
yang mampu membuat penaakulan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh hal yang
demikian, guru merupakan golongan yang perlu bertindak untuk merealisasikan KBAT dalam sistem pendidikan.
Pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) yang menerapkan unsur KBAT sangat penting diajar di dalam bilik darjah.
Guru-guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran iaitu tidak terhad kepada buku
teks dan lembaran kerja sehaja. Hal ini dapat dilakukan apabila guru
menggunakan peta pemikiran atau i-Think semasa sesi pengajaran. Pengajaran guru
menjadi lebih menyeronokkan dan mudah difahami. Dalam hal ini, KBAT boleh
diaplikasikan melalui sesi soal jawab. Contohnya, dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu yang berfokuskan kepada kemahiran lisan, guru-guru seharusnya
mengemukakan soalan-soalan yang dapat mengundang respons yang pelbagai daripada
murid-murid.
Melalui pengaplikasian KBAT ini,
murid bebas untuk menjelaskan sebab dan akibat mengikut pandangan mereka
sendiri. Contohnya, jika diajukan soalan , murid boleh memberikan jawapan dalam pelbagai
bentuk dan sudut pandangan. Kelebihan lain ialah murid dapat meningkatkan
keupayaan dan kebolehan sedia ada. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan
mengukur pembelajaran yang telah dikuasai
di samping meningkatkan sikap ingin tahu, berani mencuba dan mampu
belajar secara proaktif. Akhirnya, proses pembelajaran menjadi lebih mantap
apabila murid berupaya menerapkan unsur
KBAT dalam bentuk lisan dan penulisan. Melaluinya, murid dapat mengemukakan
pelbagai pendapat dan idea baharu secara kreatif. Di sini guru berpeluang
untuk memberikan komen, galakan dan
tunjuk ajar agar murid dapat membaiki kelemahan mereka.
Pendekatan KBAT juga meliputi kaedah
kerja lapangan di luar bilik darjah. Kaedah ini melibatkan murid-murid
bekerjasama dalam kumpulan untuk mencari dan mengumpulkan data mentah secara
saintifik, iaitu melalui teknik temu bual, soal selidik atau pemerhatian.
Melalui kaedah ini, guru dapat menerapkan nilai-nilai murni yang penting bagi
melahirkan generasi yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
serta sosial. Sesungguhnya, penerapan unsur KBAT dalam PdPc merupakan
usaha untuk memperkasakan pendidikan
negara kea rah menjanakan pemikiran global dan kemenjadian murid.
Soalan
2(a) – Petikan Umum
(i)
Berikan maksud membaiki kelemahan. [2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk
menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Nyatakan
kaedah-kaedah tersebut. [3 markah]
(iii)
KBAT merupakan pelengkap pembentukan modal
insan dalam sistem pendidikan negara.
Pada
pendapat anda, selain melahirkan generasi yang seimbang, apakah ciri-ciri modal
insan yang dapat dilahirkan apabila rakyat negara kita menguasai KBAT?
[4 markah]
Rumusan 16
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu
rumusan tentang faedah
membaca dan cara-cara menggalakkan
budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Percambahan idea baharu dalam bentuk
yang lebih tersusun jelas diperoleh melalui amalan membaca. Oleh sebab itulah
dikatakan bahawa amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Amalan yang baik ini
dapat mengasah fikiran supaya lebih bercapah, di samping menyuburkan
perkembangan jiwa seseorang. Sehubungan dengan itu, orang yang kurang membaca
akan ketinggalan dalam segala bidang. Orang yang banyak membaca akan mempunyai
imaginasi yang tinggi berdasarkan buku yang dibacanya. Namun begitu, berapa
ramaikah rakyat negara kita ini yang mengamalkannya? Tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa amalan membaca hanya dapat dilihat di institusi pengajian
tinggi, di perpustakaan dan di sekolah sahaja.
Berdasarkan Laporan Kajian Tabiat
Membaca Rakyat Malaysia, kadar literasi atau celik huruf di negara ini ialah 93
peratus. Walau bagaimanapun, kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia kini
hanya membaca dua buah buku setahun. Keadaan ini masih tidak memuaskan walaupun
tabiat membaca rakyat Malaysia telah bertambah baik. Satu dekad yang lalu,
rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun.
Terdapat beberapa faktor yang
menjejaskan proses pembudayaan amalan membaca di negara ini. Antaranya, hanya
buku yang mahal, khususnya buku ilmiah yang diimport. Hal ini menyebabkan
pembeli berfikir berkali-kali sebelum membeli buku. Keadaan ini banyak berlaku
dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Selain itu, sikap rakyat
yang tidak menitikberatkan aktiviti keilmuan juga menjadi penyumbang kepada
kadar pembacaan yang rendah. Persepsi
orang ramai bahawa membaca hanya berlaku semasa proses menuntut ilmu harus
dikikis. Untuk menangani persepsi yang salah itu, beberapa tindakan wajar
diambil secara berperingkat-peringkat dan berterusan. Oleh hal yang demikian,
usaha ini akan menimbulkan kesedaran bahawa orang yang membaca akan memperoleh
ilmu yang berguna sepanjang hayatnya dan akan sentiasa dihormati oleh orang
lain.
Amalan membaca ialah usaha yang
dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri individu berkenaan.
Menerusi amalan membaca, seseorang individu dapat meningkatkan penguasaan
bahasanya dan membolehkan seseorang itu maju dalam kehidupannya. Amalan membaca
harus dipupuk supaya usaha memartabatkan ilmu itu tidak didukung oleh
sesetengah pihak sahaja. Setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga
untuk memastikan bahawa amalan membaca dapat dibudayakan. Tambahan pula, kini
segala ilmu dan maklumat lebih mudah diperoleh melalui internet. Oleh itu,
hasrat kita untuk menjadi bangsa yang
maju dan bermaklumat akan dapat dicapai sekiranya kita tahu menghargai dan
memartabatkan ilmu melalui pembacaan.
(dipetik
dan diubahsuaikan daripada
“Membaca
Santapan Rohani dan Minda”
Oleh
Huzaimi Baharudin,
Dewan
Masyarakat, Januari 2006)
Soalan
2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan
Soalan 1, jawab soalan-soalan yang
berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata persepsi orang ramai. [2 markah]
(ii)
Pengarang mengemukakan beberapa faktor
yang menyebabkan budaya membaca kurang diamalkan di negara kita.
Jelaskan
faktor-faktor tersebut. [3 markah]
(iii) Pad a pandangan anda, mengapakah
murid-murid lebih suka membaca majalah hiburan dan komik berbanding buku-buku
ilmiah.
Nyatakan
sebab perkara tersebut berlaku. [4 markah]
Soalan 1 : Rumusan 17 SPM November 2018
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan
dan usaha-usaha yang perlu dilakukan
untuk mengurangkan masalah pengangguran. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Lambakan graduan yang menyumbang
peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai
peluang untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan. Masalah
ini dapat diatasi sekiranya graduan membuat pelbagai persediaan sebelum
memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial,
iaitu kemahiran cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti bekerjasama,
semangat setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain. Kemahiran ini
penting untuk membolehkan graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang
bakal dihadapi semasa bekerja.
Selain itu, graduan perlu menguasai
kemahiran komunikasi yang berkesan. Kepetahan dan kecekapan untuk berkomunikasi
dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa semasa ditemu duga. Penguasaan
pelbagai jenis bahasa di samping bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan
para graduan. Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi dengan rakan
sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada peringkat global.
Tidak hairanlah graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil
bekerja oleh syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding
dengan graduan yang lain. Mereka turut berpeluang untuk bekerja di luar negara
ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di negara ini.
Kajian mendapati bahawa graduan yang
beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan
pekerjaan. Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai pelajar tanpa sebarang
rekod salah laku akan memberikan imej yang positif kepada bakal majikan.
Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu kelebihan yang
dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seseorang itu diambil bekerja. Dengan
memiliki kelebihan tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan
memberikan kesan positif kepada kerjayanya. Seterusnya, para graduan
menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam
menghadapi tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis
tekanan.
Berdasarkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri
dengan elemen kepimpinan yang baik. Ciri-ciri kepimpinan ini hanya dapat
dicapai melalui penyertaan graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan
kerja berpasukan yang memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan
membuat keputusan. Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran
berfikir secara kritis dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea
berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang. Jelaslah, untuk
memastikan para graduan berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka
sepatutnya melakukan beberapa persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang
penting, bukan sekadar memiliki kelulusan akademik yang tinggi semata-mata.
Dipetik dan diubah
suai daripada
“Kemahiran Sebelum
Bergelar Graduan”
Oleh Noraziah Mohd
amin,
Dewan Siswa, Jun
2015.
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
(i)
Berdasarkan maksud
rangkai kata begitu membimbangkan. [2 markah]
(ii)
Pengarang berpendapat
bahawa graduan yang menguasai lebih daripada satu bahasa mempunyai kelebihan
berbanding graduan lain.
Nyatakan
kelebihan-kelebihan tersebut. [ 3 markah]
(iii)
Sungguhpun seseorang
graduan itu belum mendapat kerja tetap, hal ini tidak bermakna mereka hanya
berpeluk tubuh atau tidak melakukan sesuatu aktiviti yang berfaedah.
Pada
pendapat anda, apakah aktiviti-aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh
seseorang graduan sebelum mendapat pekerjaan tetap ? [4 markah]’
mohon share ya, cikgu untuk latihan anak-anak
ReplyDelete