Thursday 28 February 2019

Rumusan


Rumusan 1 SPM November 2005
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran  dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

            Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan  pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

            Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesame jiran. Gejala social seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk. Bak kata pepatah,’sediakan paying sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya  dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat  setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak padapersepakatan dan persefahaman yang mantap sesame jiran.

            Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat laun akan tercetus bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

            Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan dating.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan,
 Cara Kekalkan Hubungan Baik, oleh
Ahmad Tarmizi Zakaria,
Utusan Malaysia, Jun 2003)
Soalan 2 (a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata menjamin keselamatan setempat.                       [2 markah]

(ii)               Nyatakan kepentingan perpaduan dalam hidup berjiran.                                   [3 markah]

(iii)             “Semangat kejiranan semakin hari semakin luput”.
 Pada pendapat anda, mengapakah keadaanini berlaku?                                       [4 markah]


Rumusan 2 SPM November 2006
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang   menitikberatkan nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai pelengkap kehidupan berhemah. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan dan sopan santun yang meliputi akhlak mulia. Untuk menyuburkan amalan yang mulia ini, kerajaan melancarkan Kenpen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Justeru, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan oleh semua pihak untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.

Sementara itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula. Alangkah eloknya tradisi masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja pada setiap masa. Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Amalan ini akan menyemai perasaan hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat. Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam itu termasuklah budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.

Ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit oleh tuntutan kerjaya masing-masing. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru perlu mendidik murid mereka supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah. Satu langkah drastic yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh sebab itu, amalan berbudi bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah. Malahan amalan ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat, dengan perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam mengekalkan nilai budi bahasa itu.

Jika hal ini dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murine merupakan satu daripada ukuran kemajuan bangsa dan negara. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat bercambah tanpa usaha untuk memupuknya. Rakyat dan kerajaan mesti berusaha bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa. Untuk tujuan itu, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian terhakis itu menjadi amalan pada setiap masa. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan kemuncak tindakan kerajaan untuk menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia dalam pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Fokus Pengarang,”
Dewan Siswa, April 2005)

           
Soalan 2 (a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)             Berikan maksud rangkai kata ukuran kemajuan.                                                   [2 markah]

(ii)          Mengapakah kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni?                         
                                                                       [3markah]

(iii)       Pada pendapat anda, jelaskan faktor-faktor yang menentukan kejayaan kempen tersebut.                                                                                                                 [4 markah]
                                                                                        


Rumusan 3 SPM November 2007
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pada masa ini Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha untuk memperkasakan pendidikan di negara kita kerana pendidikanlah yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara. Menerusi pendidikan juga kita akan dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkaliber dan kental jati diri. Walau bagaimanapun, hasrat murni kementerian ini menghadapi beberapa kekangan, antaranya termasuklah masalah disiplin murid di sekolah-sekolah.

            Untuk mengatasi masalah ini, kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Displin. Sehingga penghujung tahun 2004, sebanyak 250 pendapat awam diterima di samping ratusan aduan dikategorikan dalam masalah salah laku murid. Tindakan lain yang diambil oleh Kementerian Pelajaran  adalah dengan membuka talian penting dan e-mel  untuk mangsa buli dan keganasan di sekolah. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran akan mendapat  maklumat tentang masalah disiplin dengan lebih tepat. Ibu bapa dan orang awam boleh membuat aduan  tentang masalah disiplin murid. Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi system pesanan ringkas (SMS) kepada pegawai yang bertanggungjawab.

            Bagi menangani masalah disiplin yang berat, pihak sekolah dibenarkan untuk mendapatkan bantuan daripada polis. Sekiranya perlu, pihak polis dibenarkan untuk menahan murid yang berada di luar kawasan sekolah pada waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran telah mengingatkan pihak  sekolah bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib jika menyembunyikan kes disiplin yang berlaku di sekolah masing-masing. Hal ini demikian kerana Kementerian Pelajaran menerima laporan bahawa terdapat pihak pentadbir sekolah, terutamanya sekolah yang berstatus elit, cuba menutup  kes disiplin di sekolah mereka.

            Sebenarnya masalah disiplin yang berlaku ini boleh ditangani menerusi prosedur yang sedia ada seperti mengenakan hukuman rotan, denda, gantung sekolah dan buang sekolah. Namun, demikian, sebelum hukuman dikenakan, setiap kes mestilah disiasat puncanya terlebih dahulu. Tindakan ini diambil supaya kita dapat berlaku adil kepada murid tersebut kerana ada murid yang melakukan kesalahan disiplin semata-mata kerana ingin akan perhatian dan mereka sebenarnya bukan penjenayah. Kita akui bahawa masa depan negara amat bergantung pada kejayaan dan kemantapan system pendidikan. Kemantapan ini pula berganting pada kecemerlangan kakitangan Kementerian Pelajaran melaksanakan peranan masing-masng. Dengan itu, akan tercapailah hasrat negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

(Dipetik dan iubahsuaikan daripada
“Realiti Semasa Masalah Dispilin Pelajar,”
Oleh Noor Khairiyati Mohd. Ali,
Dewan Masyarakat, April 2005)


Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)               Barikan maksud rangkai kata sekolah yang berstatus elit?                                         [2 markah]

(ii)             Apakah peranan pendidikan di negara ini?                                                                 [3 markah]

(iii)    Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah?                                                                                                      [4 markah]


                                                           

Rumusan 4 SPM November 2008
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angka lepas. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                                                                                                                                                 Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas  bermula pada awal 1980-an sedangkan bidang tersebut telah diceburi lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain. Pada mulanya  rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada penglibatan dalam bidang angkasa lepas itu benar-benar  berbaloi dengan kos tinggi yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, persoalan itu terjawab apabila Malaysia  diakui sebagai antara negara yang memiliki komunikasi yang terbaik di dunia.

Belakangan ini, Malaysia terus mengorak langkah dalam bidang tersebut apabila  melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas melalui kerjasama dengan  beberapa buah negara lain. Pemilihan calon angkasawan pertama negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai peserta telah menawarkan diri untuk menyertainya. Calon-calonnya terdiri  daripada pendidik, doktor, jurutera, saintis dan juruterbang. Kejayaan program ini memberikan impak yang besar kepada negara untuk terus maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Melalui program ini juga, negara dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara yang sudah maju dalam bidang tersebut. Secara tidak langsung, kerjasama dengan negara-negara terbabit membolehkan rakyat Malaysia mencontohi cara mereka bekerja dalam bidang tersebut.

Masyarakat yang pada suatu ketika dahulu ragu-ragu akan menfaat penerokaan angkasa lepas, kini menerima hakikat bahawa sysatem komunikasi yang semakin canggih ialah hasil daripada penerokaan angkasa lepas. Kecanggihan system komunikasi ini, seperti penggunaan internet telah menyebabkan bidang perniagaan dan pemasaran semakin meluas kita boleh mencontohi negara-negara maju yang menggunakan Internet untuk tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Selain itu, peluang pekerjaan  dan perkhidmatan turut berkembang seiring dengan perkembangan system komunikasi ini.

Satu lagi bukti pembabitan Malaysia dalam bidang angkasa lepas ialah pelancaran  tiga buah satelit ke angkasa lepas. Menerusi pelancaran satelit ini, system komunikasi negara terus berkembang maju yang akhirnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat. Kerja-kerja pemetaan, pengawalan dan pemantauan alam sekitar dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui satelit. Sesungguhnya, kejayaan  dalam penerokaan angkasa lepas ini bukan sahaja dapat memperluas bidang tersebut, tetapi  turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang-bidang lain seperti pendidikan, penyelidikan dan perubatan. Program penerokaan angkasa lepas ini mempunyai peluang yang cerah untuk berkembang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, langkah yang sistematik harus diambil supaya pada suatu hari nanti Malaysia dapat melahirkan lebih banyak angkasawan bagi membeuktikan kehebatan negara dalam bidang angkasa lepas.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
‘Meneroka Angkasa Lepas’ oleh Haslin Ghafar,
Utusan Malaysia, 26 Mei 2006

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)               Berikan maksud rangkai kata memberikan impak.                                         [2 markah]

(ii)      Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.
Nyatakan bukti-bukti tersebut.                                                                  [3 markah]

(iii)    Sebagai murid yang berwawasan, jelaskan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan supaya terpilih sebagai  calon angkasawan pada masa akan datang.                                                                          
                                                                                                                  [4 markah]

                                                                                           
Rumusan SPM 5 November 2009
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pernahkah sekali-sekali anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan tumpuan kepada  kerja ataupun pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini ada kaitannya dengan faktor tidur.

            Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan seseorang mengeluarkan hormone pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang  cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu,  mereka yang sering tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam,akan menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga akan mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian,  kebanyakan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.

            Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan menglami tekanan dan melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi seseorang.

            Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan, sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
“Tidur dari segi Saintifik,” oleh Danial Zainl Abidin,
Dewan Kosmik, Februari 2007)


Soalan 2 (a) : Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)               Berikan maksud rangka kata keadaan yang merimaskan.                                    [2 markah]

(ii)       Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang dialami jika seseorang tidak mendapat tidur yang secukupnya.
Nyatakan tiga daripada kesan tersebut.                        
                                                                                [3markah]

(iii)           Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah sukar tidur?
Kemukakan empat punca.                                                                                     [4 markah]



Rumusan SPM 6 November 2010
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara memajukan industri coklat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
           
            Sejak turun-temurun, coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai  jenis makanan dan minuman yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Pada zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati coklat. Pada masa itu, coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja, perwira dan pembesar negara. Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah kokok itu dapat dinikmati oleh semua orang. Hal ini menyebabkan industry berasaskan koko semakin  berkembang dan menjadi sumber ekonomi epada banyak negara.

            Coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B, C dan D. mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegaan otot. Namun demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkab otot  menjadi terlalu rehat sehingga asid perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu bahagian saluran makanan yang terletak  di antara tekak dengan perut. Keadaan ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada mnusia. Hasil penyelidikan pula mendapat bahawa coklat dapat memberi perasaan gembira yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut.

            Hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat, aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Di samping itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks kerana bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun , bahan kimia yang memberikan  kesan relaks kepada  manusia itu boleh menjadi racun kepada banyak haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi kerana haiwan peliharaan tidak mempunyai system penghadaman yang dapat melakukan proses penguraian terhadap bahan kimia tersebut.

            Manfaat lainnya ialah coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang selalu memakannya. Kajian mendapati bahawa sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat langsung. Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk, namun begitu , manusia perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.

(Dipetik dan diubah suai daripada
“Sains di Sebalik Coklat”
Oleh Saharil Hasril Sanin,
Dewan Kosmik, September 2007)



Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)               Berikan maksud rangkai kata sumber ekonom                                               [2 markah]      

(ii)             Pengarang mengemukakan beberapa keburukan pengambilan coklat.
Nyatakan keburukan-keburukan tersebut.                                                      [3 markah]

(iii)      Masih terdapat sebilangan rakyat negara kita yang gemar membeli coklat import walaupun harganya mahal.
Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku?
Berikan tiga sebab.                                                                                          [4 markah]

.
Rumusan SPM 7 November 2011
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan bahasa kebangsaan dan masalah-masalah yang dihadapi untuk memperkasakan bahasa kebangsaan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pada kelazimannya, istilah Bahasa kebangsaan merujuk kepada satu Bahasa yang dikaitkan dengan sesebuah negara. Bahasa yang dipilih untuk menjad Bahasa kebangsaan biasanya ialah bahasa setempat atau Bahasa peribumi. Bahasa kebangsaan sering dijadikan symbol jati diri nasional yang sama untuk seluruh rakyat sesebuah negara.
           
            Dalam hal ini, seperti kebanyakan negara, Malaysia memiliki hanya satu Bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Dengan menggunakan satu Bahasa kebangsaan sahaja,  negara kita berjaya membentuk satu identity nasional yang sama dalam kalangan rakyat. Bahasa Melayu telah dipilih sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita kerana Bahasa Melayu ialah Bahasa kumpulan etnik yang paling besar dan atas kemampuannya sebagai lingua franca, iaitu Bahasa perhubungan antara masyarakat selama beberapa abad di rantau ini. Di samping itu, Bahasa Melayu menjadi Bahasa pentadbiran kerajaan Melayu sebelum negara ini dijajah oleh kuasa Barat. Walau bagaimanapun, akibat penjajahan Barat perpaduan rakyat di negara kita mulai tergugat. Tindakan onar penjajah itu meninggalkan kesan yang mendalam sehingga menyulitkan kita untuk menyuburkan jati diri serta citra bangsa yang utuh sifatnya.

            Setelah mencapai kemerdekaan, para pemimpin kita telah mengambil langkah segera untuk mengukuhkan perpaduan rakyat yang menjadi teras pembangunan negara. Atas kesedaran itulah, Bahasa Melayu dikembalikan peranannya sebagai alat perpaduan dan seterusnya membangkitkan semangat kebangsaan rakyat negara ini. Di samping itu, Bahasa kebangsaan juga dapat memupuk semangat kekitaan dalam jiwa rakyat Malaysia, yang bersifat padu dan abadi. Hal tersebut hanya dapat dilakukan melalui perkongsian satu Bahasa kebangsaan, yang antaranya digunakan sebagai Bahasa pengantar tunggal dalam system pendidikan nasional. Melalui sistem pendidikan tersebut, bahasa kebangsaan juga berperanan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat dalam negara kita. Sehubungan dengan itu, banyak negara yang memanfaatkan fungsi Bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat.

            Melalui penggunaan satu Bahasa kebangsaan sesama rakyat, komunikasi yang berkesan dapat dizahirkan. Hal ini demikian kerana melalui pertuturan satu Bahasa yang sama sesungguhnya Bahasa kebangsaan bukan sahaja merupakan jiwa rakyat,  tetapi sebenarnya ialah maruah negara dan maruah rakyat. Negara kita dalam konteks imartabat dan nama baik bahasa Melayu perlu dijaga. Bahasa Melayu wajar diletakkan pada kedudukan teratas,  yakni di atas mana-mana bahasa lain di negara kita selaras dengan cogan kata bahasa jiwa bangsa.

(Dipetik dan diubah suai daripada
“Kepentingan satu bahasa kebangsaaan”
Oleh Teo Kok Seong
Pelita Bahasa, Oktober 2009)


Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)         Berikan maksud rangkai kata padu dan abadi.                                                  [2 markah]

(ii)   Pengarang mengemukakan beberapa faktor pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nyatakan faktor-faktor tersebut.                                                    [3 markah]

(iii)      Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak media dapat menggalakkan rakyat menggunakan bahasa kebangsaan.
Jelaskan dua cara.                                                                                               [4 markah]


Rumusan 8 SPM November 2012
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pemilihan Malaysia sebagaai destinasi pelancongan kesihatan dan faedah-faedah industri pelancongan kesihatan kepada negara kita. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Bersesuaian dengan langkah transformasi ekonomi negara yang memerlukan pendekatan dan  strategi menyeluruh, kerajaan melaksanakan usaha sama dalam pelbagai bidang yang menjadi teras ekonomi negara. Kerjasama yang terjalin antara sector kesihatan dengan sector pelancongan telah merancakkan industry pelancongan kesihatan, iaitu lebih banyak pelancong dari serata dunia berkinjung ke Malaysia bagi mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan selain memenuhi agenda pelancongan mereka. Hal ini dipengaruhi oleh factor kebanyakan hospital di negara ini mendapat pengiktirafan do peringkat antarabangsa.

            Sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap kualiti perunatan yang tinggi, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menarik lebih banyak pelancong kesihatan. Hal ini demikian kerana  negara kita sememangnya mampu menyediakan perkhidmatan pelancongan kesihatan yang terbaik dan seterusnya menjadi peneraju industry ini di rantau Asia Tenggara.  Kemajuan dalam perkhidmatan perubatan swasta merupakan elemen bernilai tambah yang mempunyai potensi untuk menjadi sumber penjanaan perkhidmatan tersebut. Selain itu, negara kita mempunyai pakar perubatan antara yang  terbaik di dunia. Tambahan pula, caj rawatan di sini lebih murah berbanding dengan negara maju.

            Keyakinan pelancong kesihatan terhadap mutu rawatan di negara kita didorong oleh pengiktirafan Kualiti Kesihatan Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH) serta standard MS ISO9002. Pengiktirafan tersebut dimiliki oleh pengamal perubatan tempatan yang memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehubungan dengan itu, Malaysia amat sesuai sebagai destinasi pelancongan kesihatan kerana terdapat banyak pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan doctor pakar yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi. Lebih istimewa, pusat perubatan swasta di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan penginapan kerana kos penginapan hospital bergantung pada pilihan pesakit sama ada mahu memilih penginapan yang mewah atau penginapan yang selesa dengan bayaran yang berpatutan. Para pelancong kesihatan turut mendapat layanan bertaraf dunia daripada  pusat perubatan swasta tempatan.

            Bagi memperkasakan  industry ini agar lebih berdaya saing dan menawarkan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan semasa, KKM telah memperuntukkan undang-undang baharu untuk  mentadbir penjagaan kesihatan. Usaha penambahbaikan sector kesihatan melibatkan pemberian kuasa tambahan kepada Majlis Kesihatan Malaysia sekali gus akan mempertingkatan fungsinya. Bagi memastikan  jumlah pelancong kesihatan meningkat dalam kadar yang lebih tinggi dari  tahun ke tahun, kerajaan mengkaji kemungkinan untuk meminda undang-undang agar dapat membantu pengamal perubatan mempromosikan perkhidmatan mereka di luar negara.

(Dipetik dan diubah suai dariapada
“Sinergi Sektor Kesihatan dengan Pelancongan”
Oleh Hanafi Timan, Dewan Ekonomi, Oktober 2010)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                Apakah maksud rangkai kata strategi menyeluruh?                                                  [2 markah]

(ii)    Pengarang menyatakan beberapa usaha kerajaan untuk memajukan sector pelancongan kesihatan. Nyatakan usaha-usaha tersebut.                                                                 [3 markah]

(iii)   Jelaskan pendapat anda tentang dua peranan pihak media untuk memajukan industri pelancongan kesihatan di negara  ini.                                                                         [4 markah]


Rumusan 9 SPM November 2013
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan hutan bandar  dan cara-cara mengekalkan hutan bandar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Kawasan bandar merupakan penyumbang utama pembebasan gas karbon dioksida yang menjadi punca utama pencemaran udara. Oleh itu, kewujudan hutan bandar penting bagi mengurangkan masalah ini. Hutan bandar merupakan tumbuh-tumbuhan yang sedia ada dan juga pokok-pokok yang ditanam secara sitematik di persekitaran bandar. Hutan bandar berperanan untuk menyediakan kawasan hijau yang berkualiti bagi mengimbangi binaan batu dan struktur lain yang mendominasi landskap bandar.

            Hutan bandar berfungsi untuk mengurangkan kesan negatif  akibat kemerosotan kualiti alam sekitar di kawasan bandar. Ketika ini, hutan bandar menjadi semakin relevan dan sangat berpotensi untuk mengurangkan masalah pencemaran udara. Di samping itu, masalah pemanasan global juga dapat dikurangkan melalui penghutanan bandar. Pokok pinggiran jalan yang ditanam pula dapat dijadikan peneduh daripada panas matahari. Namun demikian, pemilihan pokok yang sesuai perlu diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan. Umpamanya, penanaman pokok palma, walaupun cantic, tidak membawa banyak faedah sebagai peneduh kerana siaz kanopinya yang kecil berbanding dengan pokok-pokok besar yang lain. Begitu juga pokok angsana, walaupun rendang tetapi dahannya mudah patah dan membahayakan orang ramai.
           
            Pada masa yang sama, pokok besar yang ditanam di sekitar bandar seperti khaya senegalensis dan Samanea saman berfungsi untuk menyerap gas karbon dioksida di atmosfera. Karbon dioksida yang diserap berubah ke bentuk biojisim yang disimpan sebagai karbon sama ada di bahagian akar atau di bahagian batang, daun dan dahan. Peranan utama pokok yang menjadi penyumbang kepada  perhutana bandar adalah untuk mengurangkan masalah perubahan iklim. Hal ini demikian kerana pokok yang ada di sesuatu kawasan bandar dipercayai dapat memberikan sumbangan bukan sahaja di kawasan bandar tersebut bahkan di peringkat global. Oleh itu, hutan bandar sememangnya penting dalam melengkapkan ekosistem bandar.

            Berbeza dengan hutan hujan tropika yang berfungsi untuk mengurangkan kerosakan tanah, menyediakan sumber makanan dan perlindungan kepada pelbagai jenis haiwan, hutan bandar pula dapat meminimumkan kerosakan akibat hakisan tanah. Hal ini disebabkan kewujudan hutan bandar sedikit sebanyak telah dapat menangani masalah kejadian tanah runtuh di kawasan bandar. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menjamin pengekalan pokok besar yang sedia ada di kawasan bandar. Usaha ini penting demi meningkatkan kualiti udara di bandar di samping manfaatnya terhadap alam sekitar secara keseluruhan.

(Dipetik dan diubah suai daripada,
“Hutan Bandar”, oleh Ahmad Azaruddin Mohd Noor dan Adnan Mohammad,
Dewan Kosmik Jun 2011”




Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud secara sistematik.                                                                     [2 markah]

(ii)             Pengarang ada menyatakan beberapa fungsi hutan hujan topika.
Nyatakan fungsi tersebut.                                                                                    [3 markah]

(iii)         Usaha-usaha memupuk semangat cinta akan hutan perlu bermula pada peringkat sekolah. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk  memupuk semangat tersebut?                                                                                                                [4 markah]


Rumusan 10 SPM Ulangan  2014
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor obesiti dan kepentingan mengawal berat badan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Obesiti atau kegemukan didefinisikan sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Menurut kajian, kira-kira 20 peratus rakyat negara kita menghadapi masalah obesiti. Secara umum, obesiti berpunca daripada kandungan nutrisi yang tidak seimbang dalam menu harian. Hal ini berlaku kerana tabiat pemakanan yang lebih mengutamakan keenakan makanan berbanding dengan khasiatnya.

Amalan pengambilan makanan segera seperti makanan berasaskan daging yang diproses turut menjadi penyumbang kepada masalah obesiti. Kajian yang dijalankan pada tahun 2005 hingga 2006 mendapati bahawa 74 sampel makanan segera seperti kentang dan ayam goreng yang dijual di restoran makanan segera sangat tinggi kandungan lemaknya. Selain itu, makanan berasaskan karbohidrat yang diambil secara berlebihan seperti nasi lemak dan roti canai turut menjadi penyebab obesiti. Masalah ini juga berlaku akibat makanan harian yang tinggi kandungan kalorinya. Hal ini demikian kerana kalori yang berlebihan akan bertukar menjadi lemak sekiranya tidak digunakan dalam masa yang lama. Untuk menangani masalah ini, kita hendaklah membudayakan tabiat pengambilan makanan yang sihat.

Masalah obesiti juga disebabkan oleh amalan penggunaan ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor. Misalnya, steroid yang berlebihan dalam ubat-ubatan boleh menyebabkan obesiti dan pelbagai penyakit lain. Walau bagaimanapun, pakar kesihatan juga tidak menafikan bahawa kegemukan boleh berlaku kerana faktor genetik atau keturunan. Hasil kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa anak-anak yang dilahirkan daripada salah seorang daripada ibu bapanya obes mempunyai 40 hingga 50 peratus berkemungkinan menjadi gemuk. Sekiranya kedua-dua ibu bapanya obes, kebarangkalian menjadi gemuk ialah 70 hingga 80 peratus.

Kadar metabolisme yang rendah juga dikenal pasti sebagai penyebab obesiti. Hal ini demikian kerana metabolisme rendah menyebabkan tahap pembakaran kalori menjadi lebih perlahan. Keadaan ini semakin meruncing apabila individu tersebut tidak melakukan senaman dan diet yang seimbang. Dalam hal ini, kita dinasihatkan supaya melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Perlu diingat bahawa pertambahan berat badan juga berlaku apabila seseorang itu tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti banyak menghabiskan masa menonton televisyen atau bermain permainan video terutamanya kanak-kanak dan remaja. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengurangkan aktiviti menonton televisyen atau permainan video. Kita perlu sedar bahawa obesiti akan menimbulkan pelbagai kemudaratan. Oleh itu, setiap individu perlu bertindak untuk mengelakkan obesiti kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.                                                                                                             
Dipetik dan diubah daripada
“Nasi Lemak, Oh Nasi Lemak”
Oleh Marina Abdul Manaf,
Dewan Kosmik, September 2010


Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)               Berikan maksud membudayakan tabiat.                                                    [2 markah]

(ii)     Pengarang mengemukakan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan masalah obesiti.
Nyatakan langkah-langkah tersebut.                                                          [3 markah]

(iii)      Pada pendapat anda, bagaimanakah  kesedaran masyarakat tentang bahaya obesiti dapat ditingkatkan?
Jelaskan dua cara.                                                                                      [4 markah]


 Rumusan 11 SPMN 2014
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor  dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapat khidmat kaunselor. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya. Sebagai orang yang terlatih, kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan dan  kaunseling yang mampu menangani sebahagian masalah sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan emosi. Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca tekanan emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani masalah yang dihadapi.

            Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti tanggapan sesetengah pihak. Perkara ini  perlu difahami oleh setiap murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan mengurangkan perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya  menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah semata-mata. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya, apabila bertemu dengan kaunselor, murid akan dibantu  untuk menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti panduan memilih jurusan atau kerjaya yang sesuai dan bukan memberi tumpuan terhadap masalah tertentu sahaja.

            Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya. Hal ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang diingini agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat hidup. Pada masa yang sama, kaunselor bertanggungjawab untuk membimbing murid memanfaatkan peluang bagi penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang hubungan mereka dengan masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran. Selain itu, kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri murid melalui sesi kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai murni ini akan meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.

            Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar dilaksanakan agar khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan murid. Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Memanfaatkan Khidmat Kaunselor’
Oleh Nadiah Naufal,
Dewan Siswa, April 2012.



Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan.
 [2 markah]

(ii)         Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat kaunselor di sekolah.
Nyatakan tanggapan-tanggapan yang salah tersebut.
[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka?
[4 markah]
































Rumusan 12 SPMN 2015
[30  markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berkurangnya bekalan air bersih dan cara-cara menyedarkan masyarakat supaya berhemat dalam penggunaan air. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Air merupakan sumber yang penting untuk kelestarian dan kelangsungan kehudupan. Air diperoleh secara semula jadi daripada pelbagai sumber dan sungai merupakan sumber air yang utama di negara ini. Negara kita mempunyai lebih daripada 150 batang sungai yang menjadi sumber air mentah utama. Walau bagaimanapun, Malaysia terdedah kepada risiko kekurangan bekalan air jika sumber air tersebut tidak dijaga dan diurus dengan baik. Oleh itu, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air sangat perlu diberikan perhatian bagi menjamin bekalan air yang mencukupi.

            Peningkatan permintaan air oleh pengguna akibat pertambahan bilangan penduduk menyebabkan berlakunya penyusutan bekalan air. Krisis air juga berlaku disebabkan oleh sikap pengguna yang sering menggunakan air secara berlebihan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa secara purata setiap rakyat Malaysia menggunakan 380 liter air sehari, iaitu melebihi keperluan biasa yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB} sebanyak 50 liter  sehari. Keadaan ini berlaku kerana sikap sebahagian rakyat Malaysia yang tidak menghargai  air sehingga  melakukan pembaziran. Sumber bekalan air negara ini terjejas disebabkan oleh pembangunan  yang tidak terancang. Hal ini demikian kerana aktiviti dan perancangan bandar tidak diurus dengan baik. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang bertanggungjawab  perlu mengambil inisiatif untuk menangani isu pembalakan dan pembangunan yang tidak terancang ini.

            Malaysia juga pernah dilanda beberapa episod krisis air kesan daripada perubahan iklim, misalnya fenomena El Nino yang telah menyebabkan berlakunya kemarau panjang. Pada masa itu, kerajaan terpaksa mencatu bekalan air akibat sumber air yang semakin susut. Selain itu, pelepasan sisa toksik daripada aktiviti industri ke sungai-sungai telah menyebabkan  air tercemar. Hal ini telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk di negara ini, terutamanya  bagi penduduk yang menjadikan sungai sebagai sumber air. Di samping itu, kewujudan tapak  pelupusan sampah  berhampiran sungai yang menghasilkan air licik telah mencemarkan air sehingga menyebabkan berkurangnya bekalan air bersih. Keadaan yang berlaku  ini menunjukkan kualiti air sungai semakin merosot.

            Selain faktor-faktor di atas, masalah kecurian air juga menjadi salah satu sebab berlakunya krisis air. Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan yang mendesak bagi mewujudkan satu dasar yang menyeluruh untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan urus tadbir sumber air yang baik dan bersepadu. Sesungguhnya, masa depan dan nasib sumber  air negara terletak di tangan kerajaan dan rakyat.

Dipetik dan diubah suai daripada
“Air Semakin Kurang
Oleh Haliza Abdul Rahman,
Dewan Kosmik, Mei 2013







Soalan 2(a)- Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata menimbulkan kesulitan.                              [2 markah]

(ii)             Dalam petikan terdapat beberapa langkah untuk mengatasi masalah kekurangan air bersih.
             Apakah langkah-langkah tersebut?                                                           [3 markah]

(iii)             Negara kita telah beberapa kali menghadapi krisis bekalan air.
             Huraikan pendapat anda tentang cara yang berkesan bagi menangani krisis tersebut
[4 markah]

 Rumusan 13 SPM November 2016
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja dan kepentingan memupuk semangat patriotisme. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Patriotisme pada umumnya dikaitkan dengan semangat kecintaan dan pengorbanan  yang kuat untuk negara. Semangat cinta akan negara ini perlu disemau dan dipupuk dalam kalangan remaja kerana semangat ini tidak hadir sendiri tanpa memahami sejarah negara secara jelas. Sejak akhir-akhir ini semangat patriotisme dikatakan semakin menipis dalam diri remaja kerana generasi pascamerdeka itu tidak pernah merasai jerih perih seperti yang dialami pejuang kemerdekaan tanah air suatu ketika dahulu. Mereka juga berasa selesa  dengan kehidupan hari ini. Sehubungan dengan itu, semangat patriotism mesti disemai, melalui system pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah, bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Pada masa yang sama, penerapan elemen sejarah melalui mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Kajian Tempatan dan Kesusasteraan Melayu turut dapat menyemai semangat tersebut.

            Untuk membina semangat patriotism dan rasa cinta remaja terhadap negara, pelbagai aktiviti menarik boleh dilaksanakan melalui aktiviti kokurikulum di sekolah seperti Persatuan Sejarah, Kelab Rukun Negara dan Kelab Setia. Di samping itu, kempen sayangi negara hendaklah diadakan secara berterusan. Media  elektronik seperti televisyen dan radio perlu menyiarkan dokumentari tentang  pejuang kemerdekaan dan menayangkan filem-filem yang berkaitan denan peristiwa bersejarah negara kita. Penyebaran  maklumat  tentang peristiwa bersejarah melalui  laman sosial perlu dilaksanakan dengan harapan remaja dapat  menggunakan kreativiti mereka dengan memuat naik peristiwa-peristiwa sejarah secara interaktif supaya  semangat patriotism dapat diterapkan. Selain itu, program sambutan bulan kemerdekaan perlu dijalankan untuk menyemarakkan semangat patriotism dalam kalangan remaja. Program-program seperti pertandingan nyanyian lagu patriotic, pementasan teater dan drama yang bercorak kenegaraan boleh dianjurkan oleh  badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan supaya mesej semangat cinta akan negara  sampai kepada golongan sasaran. Namun, program tersebut kurang berjaya dalam mencapai matlamatnya  kerana kurangnya penghayatan para remaja dalam aktiviti bercorak kenegaraan tersebut.

            Dalam memupuk semngat patriotism, ibu bapa turut memainkan peranan penting dengan menunjukkan teladan kepada anak-anak. Misalnya, ibu bapa bersama anak-anak mengibarkan Jalur Gemilang atau melawat tempat-tempat bersejarah tanah air. Akan tetapi, terdapat segelintir ibu bapa yang kurang berperanan dalam menerapkan semangat patriotism dalam jiwa nak-anak mereka menyebabkan  hasrat memupuk semangat patriotism terjejas. Para remaja juga perlu dididik dan diterapkan konsep berpegang pada prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang terdapat dalam Rukun Negara. Penerapan  terhadap prinsip ini diharapkan dapat melahirkan remaja yang bersemangat patriotisme dalam meniti arus globalisasi. Oleh itu, setiap rakyat negara ini perlu mempunyai semangat patriotisme dalam  mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara tercinta.

Dipetik dan diubah suai daripada
“Memupuk Semangat Patriotisme melalui Sejarah”
Oleh Azam Rahman,
Dewan Siswa, Ogos 2014.

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut deng,an menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata golongan sasaran.                                                    [2 markah]

(ii)       Pengarang menyatakan  beberapa faktor yang menyebabkan semangat patriotisme semakin menipis dalam kalangan remaja.
            Apakah faktor-faktor tersebut?                                                                                  [3 markah]

(iii)             Pejuang-pejuang kemerdekaan telah berjaya menanamkan semangat patriotisme dalam jiwa rakyat Malaysia sehingga kini.
Pada pendapat anda, apakah perkara-perkara yang dapat dilakukan agar jasa-jasa mereka kekal subur dalam jiwa generasi akan datang?                                                           [4 markah]



Soalan 1 : Rumusan 14 SPM November 2017
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dan cara-cara pihak sekolah menarik minat murid mempelajari KOMSAS. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pendidikan Bahasa Melayu di semua sekolah menengah diperkenalkan mulai tahun 2000. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memilih beberapa buah karya sastera untuk dijadikan teks yang wajib dipelajari dan ditaksir dalam peperiksaan awam. Pemilihan karya sastera tersebut merangkumi semua genre utama yang mencakupi pelbagai tema. Langkah tersebut menjadikan pendidikan Bahasa Melayu semakin luas. Hal ini telah menjadikan proses pendidikan Bahasa Melayu tidak lagi hanya berfokus kepada penulisan karangan, tatabahasa dan pemahaman semata-mata.

            KOMSAS yang diajarkan juga dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid. Murid dapat menikmati keseronokan dunia pembacaan apabila mereka dapat menghayati pelbagai karya yang ditulis oleh pengarang-pengarang tanah air. Melalui pembelajaran KOMSAS pelbagai istilah asas kesusasteraan seperti tema, persoalan, perwatakan, gaya bahasa dan beberapa istilah lain dapat difahami dan seterusnya mampu melahirkan murid yang menghargai karya-karya sastera. Berbanding dengan penulisan yang berbentuk fakta dan ilmiah, penulisan karya sastera lebih menarik kerana digarap melalui penggunaan gaya bahasa yang puitis dan kosa kata yang pelbagai. Secara tidak langsung, murid-murid dapat memperluas perbendaharaan kata yang boleh digunakan dalam penulisan dan pertuturan. Di samping itu, pembelajaran KOMSAS dapat membantu murid untuk meningkatkan kemahiran berbahasa seperti kemahiran bertutur, membaca dan menulis.

            Karya yang dipilih sebagai teks KOMSAS bukan sahaja mengambil kira aspek teknik penceritaan atau jalan cerita tetapi juga berdasarkan gaya bahasa yang menarik. Selain itu, nilai-nilai murni yang boleh dijadikan teladan turut diambil kira. Pertimbangan tersebut sangat penting agar pembacaan dan perbincangan karya KOMSAS di dalam kelas dapat memberikan banyak pengajaran kepada murid. Karya yang dipilih itu pula tidak terhad kepada karya-karya moden seperti novel, cerpen dan sajak malah KOMSAS turut mengetengahkan karya-karya lama yang berbentuk prosa seperti prosa tradisional serta puisi seperti panting, gurindam dan syair. Dengan mendalami dan mengapresiasi karya-katya sastera tradisional tersebut, murid menjadi lebih peka untuk menghargai kesusasteraan warisan bangsa. Sebagai usaha positif untuk menyemarakkan penghayatan KOMSAS, pihak KPM sentiasa menukar teks KOMSAS yang digunakan dalam tempoh tertentu. Perubahan tersebut dilakukan untuk memberi peluang kepadada lebih ramai penulis agar karya mereka diterbitkan dan seterusnya dikaji oleh murid-murid.

            Sesungguhnya pembelajaran KOMSAS yang telah dilaksanakan lebih sepuluh tahun ini dapat mematangkan murid dalam berfikir dan berkomunikasi. Namun begitu, pihak KPM perlu melaksanakan kajian semula secara holistic supaya pembelajaran KOMSAS dapat memberikan impak yang lebih menyeluruh. Kajian ini perlu dilakukan agar matlamat pembelajaran KOMSAS dapat dicapai dengan baik.


Dipetik dan diubah suai daripada
“Pembelajaran KOMSAS dan Dunia Kesusasteraan Negara”
Oleh Salleh Hashim,
Dewan Siswa, April 2016



Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)            Berikan maksud rangkai kata menikmati keseronokan.                           [2 markah]

(ii)         Dalam petikan, pengarang menjelaskan bahawa pelbagai pertimbangan diambil kira semasa memilih karya sastera untuk dijadikan teks KOMSAS.
Nyatakan pertimbangan –pertimbangan tersebut.                                    [3 markah]

(iii)      Negara kita masih memerlukan ramai penulis yang berminat untuk menghasilkan karya sastera.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai hasrat tersebut ?                                                                                                   [4 markah]

   


























Rumusan 16 SPM Ulangan 2018
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan penerapan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan usaha-usaha ibu bapa untuk menyokong pelaksanaan KBAT dalam pendidikan. Panjang  rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Pendidikan merupakan antara bidang yang mengukuhkan pembangunan komuniti dan pembangunan ekonomi di sesebuah negara. Seiring dengan perkembangan system pendidikan dunia, sistem pendidikan di Malaysia turut mengalami transformasi agar setanding dengan pendidikan pada peringkat global. Kini terdapat perubahan baharu dalam dunia pendidikan negara, iaitu penerapan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Transformasi pendidikan yang berkonsepkan KBAT ini berupaya untuk melahirkan murid-murid yang mampu membuat penaakulan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh hal yang demikian, guru merupakan golongan yang perlu bertindak untuk  merealisasikan KBAT dalam sistem pendidikan.

            Pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menerapkan unsur KBAT sangat penting diajar di dalam bilik darjah. Guru-guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran iaitu tidak terhad kepada buku teks dan lembaran kerja sehaja. Hal ini dapat dilakukan apabila guru menggunakan peta pemikiran atau i-Think semasa sesi pengajaran. Pengajaran guru menjadi lebih menyeronokkan dan mudah difahami. Dalam hal ini, KBAT boleh diaplikasikan melalui sesi soal jawab. Contohnya, dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang berfokuskan kepada kemahiran lisan, guru-guru seharusnya mengemukakan soalan-soalan yang dapat mengundang respons yang pelbagai daripada murid-murid.

            Melalui pengaplikasian KBAT ini, murid bebas untuk menjelaskan sebab dan akibat mengikut pandangan mereka sendiri. Contohnya, jika diajukan soalan , murid  boleh memberikan jawapan dalam pelbagai bentuk dan sudut pandangan. Kelebihan lain ialah murid dapat meningkatkan keupayaan dan kebolehan sedia ada. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah dikuasai  di samping meningkatkan sikap ingin tahu, berani mencuba dan mampu belajar secara proaktif. Akhirnya, proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid berupaya  menerapkan unsur KBAT dalam bentuk lisan dan penulisan. Melaluinya, murid dapat mengemukakan pelbagai pendapat dan idea baharu secara kreatif. Di sini guru berpeluang untuk  memberikan komen, galakan dan tunjuk ajar agar murid dapat membaiki kelemahan mereka.
            Pendekatan KBAT juga meliputi kaedah kerja lapangan di luar bilik darjah. Kaedah ini melibatkan murid-murid bekerjasama dalam kumpulan untuk mencari dan mengumpulkan data mentah secara saintifik, iaitu melalui teknik temu bual, soal selidik atau pemerhatian. Melalui kaedah ini, guru dapat menerapkan nilai-nilai murni yang penting bagi melahirkan generasi  yang seimbang  dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta sosial. Sesungguhnya, penerapan unsur KBAT dalam PdPc merupakan usaha  untuk memperkasakan pendidikan negara kea rah menjanakan pemikiran global dan kemenjadian murid.
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i)                 Berikan maksud membaiki  kelemahan.                                                    [2 markah]

(ii)          Pengarang menyatakan terdapat  beberapa kaedah yang digunakan untuk menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Nyatakan kaedah-kaedah tersebut.                                                              [3 markah]

(iii)             KBAT merupakan pelengkap pembentukan modal insan dalam sistem pendidikan negara.
Pada pendapat anda, selain melahirkan generasi yang seimbang, apakah ciri-ciri modal insan yang dapat dilahirkan apabila rakyat negara kita menguasai KBAT?
                                                                                                                     [4 markah]





















Rumusan 16
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah membaca  dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Panjang  rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Percambahan idea baharu dalam bentuk yang lebih tersusun jelas diperoleh melalui amalan membaca. Oleh sebab itulah dikatakan bahawa amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Amalan yang baik ini dapat mengasah fikiran supaya lebih bercapah, di samping menyuburkan perkembangan jiwa seseorang. Sehubungan dengan itu, orang yang kurang membaca akan ketinggalan dalam segala bidang. Orang yang banyak membaca akan mempunyai imaginasi yang tinggi berdasarkan buku yang dibacanya. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat negara kita ini yang mengamalkannya? Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan membaca hanya dapat dilihat di institusi pengajian tinggi, di perpustakaan dan di sekolah sahaja.

            Berdasarkan Laporan Kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia, kadar literasi atau celik huruf di negara ini ialah 93 peratus. Walau bagaimanapun, kajian itu mendapati bahawa rakyat Malaysia kini hanya membaca dua buah buku setahun. Keadaan ini masih tidak memuaskan walaupun tabiat membaca rakyat Malaysia telah bertambah baik. Satu dekad yang lalu, rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun.

            Terdapat beberapa faktor yang menjejaskan proses pembudayaan amalan membaca di negara ini. Antaranya, hanya buku yang mahal, khususnya buku ilmiah yang diimport. Hal ini menyebabkan pembeli berfikir berkali-kali sebelum membeli buku. Keadaan ini banyak berlaku dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Selain itu, sikap rakyat yang tidak menitikberatkan aktiviti keilmuan juga menjadi penyumbang kepada kadar pembacaan yang rendah. Persepsi orang ramai bahawa membaca hanya berlaku semasa proses menuntut ilmu harus dikikis. Untuk menangani persepsi yang salah itu, beberapa tindakan wajar diambil secara berperingkat-peringkat dan berterusan. Oleh hal yang demikian, usaha ini akan menimbulkan kesedaran bahawa orang yang membaca akan memperoleh ilmu yang berguna sepanjang hayatnya dan akan sentiasa dihormati oleh orang lain.

            Amalan membaca ialah usaha yang dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri individu berkenaan. Menerusi amalan membaca, seseorang individu dapat meningkatkan penguasaan bahasanya dan membolehkan seseorang itu maju dalam kehidupannya. Amalan membaca harus dipupuk supaya usaha memartabatkan ilmu itu tidak didukung oleh sesetengah pihak sahaja. Setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk memastikan bahawa amalan membaca dapat dibudayakan. Tambahan pula, kini segala ilmu dan maklumat lebih mudah diperoleh melalui internet. Oleh itu, hasrat kita untuk  menjadi bangsa yang maju dan bermaklumat akan dapat dicapai sekiranya kita tahu menghargai dan memartabatkan ilmu melalui pembacaan.

(dipetik dan diubahsuaikan daripada
“Membaca Santapan Rohani dan Minda”
Oleh Huzaimi Baharudin,
Dewan Masyarakat, Januari 2006)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Berikan maksud rangkai kata persepsi orang ramai.                               [2 markah]

(ii)               Pengarang mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan budaya membaca kurang diamalkan di negara kita.
Jelaskan faktor-faktor tersebut.                                                                   [3 markah]

(iii)         Pad a pandangan anda, mengapakah murid-murid lebih suka membaca majalah hiburan dan komik berbanding buku-buku ilmiah.
Nyatakan sebab perkara tersebut berlaku.                                                  [4 markah]

                                        


Soalan 1 : Rumusan 17 SPM November 2018
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang persediaan-persediaan graduan sebelum memasuki alam pekerjaan dan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah pengangguran. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
            Lambakan graduan yang menyumbang peningkatan jumlah rakyat yang menganggur di negara kita begitu membimbangkan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk memastikan mereka dapat ditempatkan dalam sektor pekerjaan. Masalah ini dapat diatasi sekiranya graduan membuat pelbagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu mempunyai kemahiran interaksi sosial, iaitu kemahiran cara-cara berhubung dalam kelompok sosial seperti bekerjasama, semangat setia kawan dan nilai-nilai kebersamaan yang lain. Kemahiran ini penting untuk membolehkan graduan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang bakal dihadapi semasa bekerja.
            Selain itu, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan. Kepetahan dan kecekapan untuk berkomunikasi dapat menjadikan mereka berkarisma dan berwibawa semasa ditemu duga. Penguasaan pelbagai jenis bahasa di samping bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi keutamaan para graduan. Oleh yang demikian, mereka dapat berinteraksi dengan rakan sekerja dari luar negara dan berupaya untuk bersaing pada peringkat global. Tidak hairanlah graduan yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa mudah diambil bekerja oleh syarikat swasta kerana mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan graduan yang lain. Mereka turut berpeluang untuk bekerja di luar negara ataupun bekerja dengan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di negara ini.
            Kajian mendapati bahawa graduan yang beretika dan mempunyai nilai spiritual yang baik biasanya mudah ditawarkan pekerjaan. Hal ini kerana reputasi yang baik sebagai pelajar tanpa sebarang rekod salah laku akan memberikan imej yang positif kepada bakal majikan. Memiliki penampilan diri yang menarik juga merupakan suatu kelebihan yang dilihat dan dinilai oleh majikan sebelum seseorang itu diambil bekerja. Dengan memiliki kelebihan tersebut, seseorang graduan dapat menarik minat majikan dan memberikan kesan positif kepada kerjayanya. Seterusnya, para graduan menonjolkan diri sebagai individu yang mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menghadapi tekanan kerana alam pekerjaan lazimnya memberikan pelbagai jenis tekanan.



            Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), setiap graduan mesti melengkapkan diri dengan elemen kepimpinan yang baik. Ciri-ciri kepimpinan ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan graduan dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan kerja berpasukan yang memerlukan mereka berbincang, merancang, menilai dan membuat keputusan. Di samping itu, graduan seharusnya menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan analitis supaya mereka dapat menyumbangkan idea-idea berkualiti yang berkait rapat dengan budaya kerja cemerlang. Jelaslah, untuk memastikan para graduan berjaya memperoleh kerja yang diidamkan, mereka sepatutnya melakukan beberapa persediaan dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang penting, bukan sekadar memiliki kelulusan akademik yang tinggi semata-mata.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Kemahiran Sebelum Bergelar Graduan”
Oleh Noraziah Mohd amin,
Dewan Siswa, Jun 2015.

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i)                 Berdasarkan maksud rangkai kata begitu membimbangkan.                                                [2 markah]

(ii)               Pengarang berpendapat bahawa graduan yang menguasai lebih daripada satu bahasa mempunyai kelebihan berbanding graduan lain.
Nyatakan kelebihan-kelebihan tersebut.                                                                                 [ 3 markah]

(iii)             Sungguhpun seseorang graduan itu belum mendapat kerja tetap, hal ini tidak bermakna mereka hanya berpeluk tubuh atau tidak melakukan sesuatu aktiviti yang berfaedah.
Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh seseorang graduan sebelum mendapat pekerjaan tetap ?                                                                                      [4 markah]’